Muhammad SAW: Kepimpinan Yang Terpimpin

Pada asasnya setiap manusia adalah pemimpin. Sama ada pemimpin kepada diri sendiri, keluarga, organisasi dan sebagainya yang bertindak sebagai peneraju perubahan ke arah mencapai matlamat yang ditentukan. Ia bertetapan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud,

“Ingatlah! Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya”.

Namun dalam hal ini, tidak mudah untuk seseorang menjadi seorang pemimpin. Terlalu banyak ujian dan cabaran yang perlu dilalui sama ada berpunca dari diri sendiri, orang sekeliling dan juga persekitaran. Bagi umat akhir zaman, Allah SWT telah menyediakan satu contoh pemimpin yang terbaik sebagai panduan buat diri kita iaitu junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW.

Menyoroti kembali sirah Rasulullah SAW, membawa kita mengenali Baginda sebagai manusia yang mempunyai ciri kepimpinan yang tiada tolok bandingnya. Hal ini telah diakui sendiri oleh Micheal H. Hart dalam penulisan beliau yang berjudul The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History (1978) yang meletakkan Muhammad sebagai manusia yang paling berpengaruh di dunia dengan menyatakan Muhammad satu-satunya manusia yang berjaya secara luar biasa baik dari segi keagamaan dan ruang lingkup duniawi.

Hasil didikan Allah SWT, maka terbentuklah satu contoh yang sempurna buat seluruh umat manusia yang memiliki sifat wajib bagi seorang nabi dan rasul iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fathonah. Ia merupakan batu-batu asas bagi pembentukan keperibadian kepimpinan Rasulullah SAW itu sendiri. Bertitik tolak daripada asas tersebut, dasar kepimpinan Baginda lebih menekankan pembinaan manusia bersifat menyeluruh merangkumi dalaman manusia iaitu kerohanian, keintelektualan dan kejasmanian.

Apa yang dikatakan kerohanian adalah sesuatu yang yang dikaitkan dengan perasaan manusia yang melibatkan emosi kendiri dan pertimbangan dan penilaian menggunakan akal yang berstrategik. Bagaimana Rasulullah SAW mendidik rohaninya adalah dengan melaksanakan amalan yang boleh mendekatkan diri dengan Allah SWT. Dalam hal ini, perlu dijelaskan bahawa konsep ibadat bukan semata di masjid, di tikar sembahyang tetapi ia adalah berbentuk syumul (menyeluruh). Iaitu segala amalan yang kita kerjakan setiap detik hanyalah kerana Allah SWT baik makan, tidur, pakai dan sebagainya dengan mengikut apa yang telah disyariatkan. Meneliti sunnah Rasulullah, tiada satu hal pun yang membawa kepada yang sia-sia. Semua yang dilakukan oleh Baginda adalah sebagai petunjuk, peringatan dan panduan buat umatnya.

Walaupun baginda telah dijanjikan kedudukan yang tertinggi di sisi Allah, namun rasa kehambaan, kerendahan dan penuh kesyukuran kepada Allah SWT tidak pernah berubah seperti yang disampaikan oleh Saidatina Aisyah yang bermaksud,

“Bahawa nabi (SAW) telah bangun beribadat di malam hari hingga pecah pecah kaki baginda, lalu aku (Aishah) bertanya kepadanya,”Untuk apa tuan hamba melakukan hingga sedemikian rupa, ya Rasulullah, sedangkan Allah telah mengampunkan dosa tuan hamba yang dahulu san yang akan datang?.Rasulullah (SAW) menjawab, “tidak bolehkah aku menjadi hamba Allah yang bersyukur?”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Lihatlah kesungguhan seorang pemimpin yang mulia dalam melaksanakan amalan yang dapat memandu jiwa dan hatinya hanya kepada Allah SWT. Ditambah pula dengan pelbagai kegiatan yang dapat meningkatkan kualiti kerohanian Baginda melalui amalan bersedekah, berpuasa sunat dan sebagainya. Hal ini mampu membersihkan dan menyucikan rohani kita daripada terjerumus ke dalam hal-hal yang bersifat negatif seterusnya dapat memandu dan memimpin diri kita untuk sentiasa ihsan dan ikhlas dalam mengerjakan sesuatu perbuatan. Maka bercambahlah rasa kesungguhan, integriti (telus), berdisiplin dan ia mampu memberi manfaat kepada orang lain.

Selain kerohanian, keilmuan dan keintelektualan turut ditekankan oleh Rasulullah dalam pembinaan manusia. Hal ini terkesan langsung daripada semangat ‘Iqra’’ melalui wahyu pertama yang diturunkan. Daya keilmuan dan keintelektualan Baginda terus berkembang dengan pesatnya berpandukan wahyu Allah SWT. Berdasarkan petunjuk daripada Allah SWT, menjadikan pemikiran Baginda sentiasa benar dan tepat. Hal ini dinyatakan melalui firman Allah SWT yang bermaksud,

“Dia tidak berkata menurut nafsunya tetapi (apa yang diperkata) adalah sesuatu yang diwahyukan kepadanya”

(an-Najm :3)

Hasilnya daripada didikan Allah SWT lahirlah seorang pemimpin yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka, dinamik dan tidak mengambil dunia ini sebagai matlamat dalam kepimpinan. Merujuk kembali kepada peristiwa hijrah, bagaimana bijaknya Baginda mengatur strategi dalam merancang, menyusun, mengetuai dan mengawal segala hal dalam peristiwa ini.

Apabila Baginda diberi pilihan sama ada untuk menerima tawaran berupa harta, pangkat dan kedudukan oleh pemuka Quraisy yang tidak mahu menerima seruan Baginda, semuanya ditolak. Rasulullah SAW menegaskan bahawa perutusan Baginda untuk menyampaikan apa yang telah dipertanggungjawabkan ke atasnya oleh Allah SWT. Dengan keilmuan dan keintelektualan yang dimiliki oleh seorang pemimpin, mampu memandu fikiran dalam membuat sebarang keputusan dan tindak tanduknya dan dapat membezakan hak dan batil.

Tidak cukup sekadar unsur kerohanian, keilmuan dan keintelektualan sahaja, unsur kejasmanian turut diperlukan dalam pembinaan manusia yang ditekankan oleh Rasulullah SAW. Kejasmanian memainkan peranan yang penting dalam membentuk kesejahteraan fizikal seperti penjagaan kebersihan diri dan persekitaran, pemakanan, latihan fizikal dan sebagainya.

Kejasmanian yang sihat mampu mencernakan minda yang cerdas, tidak lesu dan seterusnya dizahirkan melalui perbuatan secara fizikal yang cergas. Antara perkara yang sering diamalkan oleh Rasulullah SAW adalah sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk, bersugi, menganjurkan amalan pemakanan yang sihat iaitu makan ketika lapar, dan berhenti sebelum (terlalu) kenyang dan sebagainya. Tidak ketinggalan juga dalam latihan fizikal, Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk belajar berenang, menunggang kuda dan memanah.

Kerohanian, ilmu dan keintelektualan dan kejasmanian adalah sangat berkait rapat antara satu sama lain. Jika tiada unsur kerohanian dalam diri, ilmu dan keintelektualan yang dimiliki mungkin menyebabkan diri kita bongkak, riya’ dan sebagainya. Begitulah juga jika tiada unsur ilmu dan keintelektualan dalam diri, membawa kita kepada kebinasaan. Tanpa kejasmanian yang sihat, tidak mampu menjana minda yang cerdas dan berlaku kelesuan dalam amalan.

Selayaknya dalam hal kepimpinan, kita seharusnya menjadi pemimpin kepada diri sendiri terlebih dahulu. Tidak mungkin seorang pemimpin mampu memimpin orang lain jika diri sendiri tidak terpimpin. Meneladani kepimpinan Rasulullah SAW adalah sesuatu perkara penting dalam pembentukan diri kita sebagai pemimpin. Kepimpinan Baginda bukan sahaja memimpin diri sendiri, memimpin pengikutnya malah melahirkan pemimpin yang mampu mengegarkan dunia dengan melakar sejarah yang gemilang di mata dunia. Begitulah hebatnya kepimpinan Rasulullah SAW sehingga melahirkan generasi al-Quran yang unik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: